Saturday, June 22, 2013

frust wey~

Sebagai seorang mahasiswa sejarah mmg frust la kalau tajuk target xkua exam... bukan men berdedo ha membuka kertas soalan.. mak ehhh bulat haa mate bile baca soalan.. xtentu arah pancarindera aku dibuatnya. mengigil haa otak melayan imignasi yg boley mencapai logik akal.. aku bukan men g study pasal perkembangan infrastruktur tp xdapt diluah kn didalam buku jawapan. xpela aku terjemahkan la dalam blog ni.. SELAMAT MENGENAL MALAYSIA. 

APA ITU INFRASTRUKTUR??? Infrastruktur yang dimaksudkan di sini bermaksud kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan oleh negeri/negara untuk memudahkan masyarakat dalam pengangkutan, perhubungan dan komunikasi.

Pengangkutan sebelum British





Sebelum kurun ke-19 sistem perhubungan di negeri-negeri di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) ada kaitannya dengan geografi fisikal.  Hampir semua negeri bergunung-ganang, berlembah dan bersungai. Pengangkutan air menjadi alat perhubungan utama secara semula jadi. Di daratan lorong-lorong berjalan kaki, bergajah dan kemudian berkereta lembu menjadi prasarana pengangkutan utama. Hasil pertanian dan hasil hutan diangkut melalui jalan-jalan di atas.  Manusia dan binatang menjadi perantaraannya. Kebanyakan jalan-jalan ini menuju ke sungai-sungai yang akan menyambungkan pengangkutan dari hulu ke hilir dan sebaliknya Sungai-sungai merupakan lebuhraya untuk pengangkutan terutama untuk barang-barang jualan. Kuala-kuala sungai menjadi pusat tukaran barang-barang tersebut, sama ada yang diimport mahupun yang dieksport. Justeru pusat-pusat kerajaan biasanya berada di kuala-kuala sungai yang strategik dalam perdagangan. Pengangkutan sungai ini biasanya dengan rakit, kolek, perahu, sampan, dll. Di kuala-kuala sungai pelbagai jenis pengangkutan yang lebih besar didapati, seperti, kapal layar, tongkang, jong, dll, semuanya lebih besar dari yang digunakan di sungai-sungai kerana jenis pengangkutan itu digunakan untuk pengangkutan barang melalui lautan ke negara-negara lain.

Pengangkutan semasa British


Penghasilan bahan-bahan mentah menjadi lebih pesat dengan adanya permintaan yang tinggi ke atas galian bijih timah, antimoni, arang batu, hasil tanaman komersil, seperti gula, lada, gambir, kelapa, ubi kayu, dll. Pada permulaannya jalan-jalan dibina oleh pelombong-pelombong sendiri yang ingingkan penjualan dan pengeksportan bijih lebih mudah dan pantas. Contoh Yap Ah Loy telah membina jalan yang panjang di Kuala Lumpur.  Demikian juga Sultan Abdul Samad yang membina jalan-jalan di Langat. Pembinaan jalan-jalan ini adalah untuk memudahkan pengangkutan hasil perlombongan terus ke perlabuhan. Justeru, kawasan ekonomi eksport terlebih dahulu diberikan kemudahan infrastruktur tersebut.

Contoh, Beberapa batu jalan telah dibina untuk menyambungkan Kota Klian ke Ujong Tembo, Simpang dan Bukit Gantang, kesemuanya menuju ke Sungai Larut. Pada 1879, Krian sudah dihubungkan dengan Province Wellesley di P.Pinang. Pada 1880-an Kuala Lumpur dihubungkan dengan Damansara sepanjang 16 batu. Selepas ini jalan-jalan juga mula dibina untuk menghubungkan kawasan-kawasan pentadbiran. Semenjak pengenalan pengangkutan bermotor pada awal abad ke 20, telah wujud jalan2 utama.

Dengan kepesatan pembangunan jalan-jalan ini pekan-pekan mula tumbuh dan menjadi pusat-pusat perdagangan dalam kawasan pedalaman berdekatan perlombongan. Pekan-pekan ini biasa dimulakan oleh saudagar-saudagar Cina yang menjadi pembekal barang-barang keperluan untuk orang-orang di kawasan perlombongan. Dengan adanya jalan-jalan yang mula merentasi kawasan pedalaman yang lebih luas, orang-orang Melayu juga mula membuat petempatan di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan jalan-jalan ini. Kawasan pendudukan sekarang mula berubah dari kawasan sungai ke kawasan pedalaman.

Pembinaan jalan-jalan ini juga memerlukan perburuhan yang mantap. Pentadbiran British membuka Jabatan Kerja Raya (Public Works Department) untuk memastikan pembangunan jalan dan pengangkutan dapat dilaksanakan secara sistematik. Buruh tetap diperlukan, kebanyakannya terdiri dari orang-orang India. Orang Melayu kerap diambil untuk jangka masa pendek dan orang Cina diambil secara kontrak.

Perkembangan jalan-jalan dilengkapkan dengan pembinaan jalan keretapi. Seperti halnya dengan jalan-jalan raya, keretapi dibina untuk mempercepatkan lagi pengangkutan barang-barang eksport dan import bagi kawasan-kawasan yang kaya. Justeru jalan keretapi kerap dibina hampir selari dengan jalan-jalan raya. Contoh, jalan keretapi pertama dibina di Larut dan Matang ke Port Weld. Di Perak, Selangor, Sungai Ujong dan kemudian diikuti oleh Johor, pembinaan jalan keretapi didorong oleh pemodal-pemodal British dan Cina yang mahu berkongsi keuntungan dengan pihak British. Tidak seperti pembinaan jalan-jalan raya, pembinaan jalan keretapi merupakan satu perusahaan ekonomi yang boleh memberikan keuntungan kepada kerajaan yang menjadi pengusaha utama.

Perkembangan jalan raya dan jalan keretapi kurun ke-20.

Pembinaan jalan raya dan jalan keretapi menjadi lebih pesat di Semenanjung mulai kurun ke-20 dengan tertubuhnya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada 1896. Pentadbiran yang dipusatkan di Kuala Lumpur di bawah seorang Residen Jeneral (Frank Swettenham) membolehkan pembinaan infrastruktur ini dapat diselaraskan dengan lebih berkesan. Kepesatan pembinaan infrastruktur tersebut digiatkan lagi dengan perkembangan perladangan getah yang sangat menguntungkan. Pengangkutan bahan eksport dan import bertambah dengan pesatnya. Perladangan getah bukan sahaja bertumpu di kawasan-kawasan lembah seperti perlombongan, tetapi berkembang ke kawasan pedalaman yang lebih luas.

Getah bukan sahaja berkembang di NNMB, tetapi di negeri-negeri lain yang belum diperintah secara langsung oleh British khususnya di Semenanjung. Dengan persepakatan negeri-negeri lain seperti Johor dan Kedah serta Pahang, jalan raya dan jalan keretapi juga dibina ke kawasan-kawasan tersebut dengan bantuan syarikat-syarikat dan NNMB. jelas perkembangan ekonomi eksport telah mengembangkan infrastruktur juga.

Pada 1930-an sepanjang 4,735 batu jalan berturap dan tidak berturap telah merentasi NNMB, Johor, Kedah dan Negeri-Negeri Selat. Ini bererti terdapat kira-kira 11.7 batu jalan raya bagi setiap 100 batu persegi, dan memberi perkhidmatan kepada 15.8 orang bagi setiap 10,000 orang penduduk. Kepesatan pembinaan jalan raya tersebut telah mencetuskan industeri pengangkutan, seperti perkhidmatan bas, lori, motorsikal dan kenderaan bermotor yang lain. Di antara 1910 dan 1930 peratus kenaikan kenderaan bermotor yang berlesen di Semenanjung meningkat dari 300 % kepada 1,500%.

Di Semenanjung jalan raya dan jalan keretapi dibina hampir selari di antara satu dengan lain, menyebabkan terdapat persaingan di antara keduanya dalam perkhidmatan, perbelanjaan dan keuntungan. Biasanya kos perkhidmatan jalan raya lebih murah dari jalan keretapi. Namun kedua-duanya masih dapat meraih keuntungan.Jalan keretapi yang pembiayaannya lebih mahal kerap menerima kesan dari keadaan ekonomi 1930-an yang mengalami kemelesetan.

Perkhidmatan pos, telegraf dan telefon

Perkembangan infrastruktur itu juga telah merapatkan perhubungan di antara negara-negara pusat (pengimport bahan mentah spt. Britain / Amerika Syarikat) dengan negara pinggiran (Malaysia). Kemungkinan ini dipermudahkan lagi dengan terbinanya perkhidmatan pos, tegraf dan telefon. Pembinaan pejabat-pejabat pos bermula di Negeri-negeri Selat, khususnya di Singapura dan P.Pinang. Perkhidmatan ini membolehkan perhubungan dilakukan di antara kawasan-kawasan pusat pentadbiran (NNS) ke kawasan-kawasan di NNMB, dll. Apabila NNS dimasukkan ke dalam Universal Postal Union, ia dapat berhubung secara langsung dengan pusat dunia (Britain, AS, dll).

Pada akhir kurun ke-19 perkhidmatan pos telah diwujudkan di kawasan-kawasan ekonomi (perlombongan) dengan menggunakan perkhidmatan dak, iaitu, menggunakan perkhidmatan pengirim di setiap daerah, kemudia di antara negeri-negeri. Perkhidmatan dak menggunakan jalan raya,  jalan keretapi dan kapal mula-mula sebanyak 2- 3 kali seminggu.

Perkhidmatan pos dilengkapi pula dengan perkhidmatan telegraf dan telefon yang kerap dibina bersama-sama dengan pembinaan pejabat-pejabat pos. Perkhidmatan pos, telegraf dan telefon lebih melicinkan dan mencekapkan keberkesanan pentadbiran.  Residen-Residen lebih mudah berhubung dengan pegawai-pegawai daerah, dll pentadbir yang boleh memberikan tindakan yang lebih cepat.
Perkhidmatan pos-telegraf telah mencetuskan perkhidmatan lain, seperti bank simpanan yang memberikan kadar faedah 3% setahun. Selain itu ia juga memberikan perkhidmatan kiriman wang melalui pos. Perkhidmatan kiriman yang menggunakan kereta lembu, kereta keldai, bas, dll, sekarang hanya menggunakan keretapi dan kenderaan bermotor.Pada permulaan perkhidmatan, setem NNS digunakan untuk semua kiriman pos.

Selepas NNMB dibentuk, setem NNMB (Federated Malay States /FMS) digunakan dalam negeri dan kemudian ke luar negara juga. Perkhidmatan yang sama berkembang di NNM Tidak Bersekutu yang kemudian dimasukkan ke dalam Universal Postal Union setelah menerima pentadbiran Penasihatan British (1909).

Perkembangan perkhidmatan pos-telegraf biasanya selari dengan pembinaan jalan-jalan keretapi kerana perkhidmatan kiriman dibuat melalui keretapi. Di Kedah Perlis perkhidmatan basikal digunakan untuk pos, dan di negeri-negeri di pantai timur, perkhidmatan kapal seperti Straits Steamship Company dan East Asiatic Company digunakan. Dengan pembinaan jalan keretapi Pantai Timur, keretapi dan kenderaan bermotor lain digunakan untuk menghantar kiriman ke kawasan-kawasan lain.


Semua perkhidmatan, pos, telegraf,  telefon dan bank simpanan berkembang di seluruh Semenanjung, termasuk Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor. Umumnya perkembangan infrastruktur digiatkan oleh pihak penjajah untuk memesatkan perkembangan ekonomi eksport yang menguntungkan pihak pusat. Namun tidak boleh dinafikan penduduk tempatan dapat juga merasai perkembangan tersebut dan dapat mengubah cara kehidupan mereka.

2 comments: